Thursday, January 6, 2011

2009/2010 MBPJ Best Neighbourhood Contest

Sinar Harian : 6 January 2011

JALAN YONG SHOOK LIN - Bandar Sri Damansara (BSD) menerima Anugerah Perdana Komuniti Mampan Petaling Jaya 2009/2010 daripada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada majlis penuh gemilang di Dewan Banquet Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPBJ) di sini, kelmarin.

Manakala Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Gasing Indah pula menerima anugerah bagi kategori Keselamatan Kejiranan Terbaik disusuli Persatuan Penduduk Blok 3 Desa Mentari yang menerima Anugerah Khas Integrasi Sosial.

Anugerah Tadbir Urus Terbaik menjadi milik Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Damai Senja Petaling Utama dan Keusahawanan milik Seksyen 21 PJ manakala Kejiranan Hijau diungguli Taman Mayang Jaya.

Pengerusi Persatuan Penduduk BSD, Ravindran Raman Kutty menyifatkan penerimaan anugerah itu adalah hasil usaha dan semangat bekerjasama yang ditunjukkan seluruh penduduk di perumahan itu.

“Anugerah ini adalah untuk semua penduduk, kita berjaya anjurkan program menghijaukan kawasan perumahan termasuk sentiasa memberi perhatian kepada warga emas dan program yang kita jalankan mendapat kerjasama daripada penduduk,” katanya.

Menurutnya, penghargaan turut diberikan kepada pihak MBPJ dan polis kerana memberikan perhatian terbaik terhadap segala masalah termasuk aduan yang dikemukakan penduduk.

Sementara itu Pengerusi KRT Taman Gasing Indah, Lfred Chuah berkata, meskipun Taman Gasing Indah merupakan kawasan urban di Petaling Jaya itu bukan bermaksud tidak boleh mewujudkan komuniti di situ.

“Meskipun KRT dan Skim Ronda Sukarela (SRS) baru setahun ditubuhkan namun sambutan dan kerjasama penduduk amat baik, terutamanya apabila kita mewujudkan wakil bagi setiap lorong di kawasan perumahan ini.

“Hasil permuafakatan ini berjaya menurun kadar kes jenayah dengan mendadak dengan kerjasama erat daripada pihak polis,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis MBPJ Zon 24 Halimey Abu Bakar menyifatkan anugerah yang diterima penduduk Blok 3 Desa Mentari akan menjadi contoh kepada blok lain di flat tersebut.

“Kita mahu wujudkan komuniti yang aktif menganjurkan program dan mewujudkan sebuah masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab.

“Sebagai Ahli Majlis saya sentiasa menyokong usaha yang dilakukan dan akan membantu penduduk dalam menganjurkan apa jua aktiviti serta program pada masa akan datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment